Sunday 14 February 2010

Pendidikan Jadi Pengukur Kejayaan

Oleh: Suriati Ali

“Tumpuan utama pemimpin sama ada peringkat kampung atau pusat adalah dalam bidang pendidikan kerana mengetahui ia menjadi mengukur dan menentukan kejayaan anak bangsa kita di masa depan.

“Bagi mencapai matlamat yang diinginkan, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dan UMNO supaya cemerlang seiring dalam pendidikan, termasuk memberi perhatian terhadap perkembangan ekonomi, kesihatan dan sebagainya,” kata Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika berucap di Program Juara Rakyat, Dewan Majlis Daerah Besut (MDB)), Gong Kemuntong, Besut, hari ini (13 Februari).

Turut hadir , Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Tan Sri Muhyiddin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sekolah yang menampilkan kecemerlangan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah bagi daerah Besut.

Sebagai hadiah untuk terus memperkasakan sekolah, Tan Sri Muhyiddin bersetuju meluluskan RM400 ribu kepada dua sekolah menengah di daerah itu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud dan Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam dunia yang serba canggih ini, fokus utama kerajaan adalah membantu rakyat supaya cemerlang dalam semua aspek terutama pendidikan.

“Empat Langkah awal telah dilaksanakan iaitu menumpukan bidang penting ini di peringkat awal usia lagi, di mana mempastikan setiap kanak-kanak memndapat pendidikan di pra sekolah sebelum melangkah ke alam persekolahan yang sebenar.

“Murid di Tahun Satu hingga Tiga wajib menguasai sistem Membaca, Mengenal dan Mengira (3M), mengenalpasti setiap tahun mempunyai sekolah berprestasi tinggi dan terakhir memberi anugerah kepada guru besar atau pengetua yang berjaya memberi imej terbaik kepada sekolah masing-masing,”katanya.

Beliau berkata, sesuatu kejayaan hendaklah diiringi dengan usaha dan minat meneroka, jika perkara perkara itu tidak dipenuhi pelajar, ia akan mencapai kegagalan walaupun kerajaan membantunya dengan peruntukan jutaan ringgit.

“Pelajar sekurang-kurangnya mampu menguasai dua bahasa penting jika serius ingin berjaya seperti bangsa lain. Bahasa Inggeris wajar didalami kerana serata negara mengutamakannya untuk pelbagai tujuan,” katanya.

TEGANUKITA

Terengganu Peneraju Bidang Pendidikan Negara

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Terengganu mampu menjadi peneraju kepada negeri-negeri lain bagi memajukan bidang pendidikan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin MohdYassin.

Beliau berkata, banyak program yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar, tetapi tidak dilasanakan di negeri-negeri lain.

“Banyak program yang dilakukan di Terengganu boleh dicontohi negeri lain bagi memajukan bidang pendidikan,” katanya ketika berucap merasmikan pogram Juara Rakyat peringkat Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri Kuala Terengganu petang semalam (13 Februari).

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Dato’ Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan para pemimpin kanan kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemberian wang sagu hati kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan utama dan e-Book hanya dilaksanakan di Terengganu dan rakyat negeri ini sepatutnya bersyukur kerana berpeluang menikmati kemudahan tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat sama-sama menyokong kerajaan sedia ada kerana terbukti hanya UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mampu membela nasib rakyat negeri dan negara ini.

Katanya, sebanyak 22 sekolah rendah dan 26 sekolah menengah baru dibina di seluruh negeri ini melalui Rancangan Malaysia Ke-9.

TEGANUKITA

Saturday 16 January 2010

KAD UCAPAN MOTIVASI SEMANGAT PEKERJA

Kad ucapan motivasi semangat pekerja

KUALA BERANG - (Sinar Harian) Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Hulu Terengganu mempunyai cara tersendiri memotivasikan kakitangan iaitu melalui penghantaran kad ucapan hari lahir kepada mereka sebagai tanda ingatan sempena ulang tahun kelahiran.

Pengerusi Kelab Sukan (Kesukan) Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Hulu Terengganu, Ariffin Abdullah berkata, pelaksanaan program itu digerakkan oleh kelab berkenaan, bermula awal tahun ini yang secara tidak langsung membantu mengeratkan silaturahim dalam kalangan mereka, membabitkan semua bahagian.

“Walaupun hanya sekeping kad ucapan diletakkan atas meja pekerja pada hari ulang tahunnya, ia mempunyai maksud tersirat yang sememangnya dapat memberi mereka motivasi supaya terus berusaha ke arah lebih baik.

“Kad ucapan ulang tahun ini tidak hanya sekadar menyampaikan ucapan selamat hari lahir, namun melaluinya membuatkan pekerja menyedari peningkatan umur masing-masing. Seiring pertambahan usia, kakitangan juga perlu berubah iaitu menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, melalui konteks itu, mereka bukan sekadar dapat memotivasikan diri bagi meningkatkan prestasi kerja dan bertanggungjawab terhadap kerja serta majikan tetapi juga kepada anak dan keluarga masing-masing.

“Seiring kematangan dan pertambahan usia kakitangan, diharap dapat melahirkan individu berdedikasi, berintegriti dan berwawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada program gotong-royong asyura di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Program dimeriahkan dengan penyertaan 250 kakitangan yang dipecahkan mengikut rumah sukan.

Sebanyak lapan kawah bubur asyura disediakan, bukan hanya untuk diagihkan kepada kakitangan tetapi juga jabatan kerajaan berdekatan.

Ariffin berkata, program itu adalah aktiviti pertama kelab berkenaan tahun ini.

“Antara agenda tahunan lain adalah hari keluarga dan lawatan berinformasi ke jabatan lain bagi memberi pendedahan kepada kakitangan dari pelbagai aspek pelaksanaan pengurusan.

“Biro di bawah kelab ini sentiasa dipantau supaya sentiasa bergerak aktif melaksanakan program atau aktiviti mengikut skop masing-masing,” katanya.

Menurutnya, melalui kewujudan Biro Wanita, ternyata banyak membantu kakitangan wanita bukan hanya dari aspek kemahiran memasak ataupun jahitan tetapi juga merangkumi penampilan diri.

KAUNTER DARTAR PEMILIH

16 Januari, 2010 14:59 PM

Umno Buka Kaunter Pemilih, Ahli Pada Program Juara Rakyat

KUALA LIPIS, 16 Jan (Bernama) -- Umno akan membuka kaunter daftar pemilih dan keanggotaan Umno pada setiap siri program Juara rakyat di seluruh negara dalam usaha menambah lagi keanggotaannya selain memastikan mereka dapat mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata ketika ini terdapat lebih 4.38 juta yang layak mendaftar tetapi masih belum berbuat demikian, dengan 2.85 juta atau 65 peratus adalah Bumiputera.

"Usaha kita ini adalah bagi membolehkan lebih ramai mereka yang belum lagi mendaftar keanggotaan dan pemilih dapat mendaftar segera, dan dapat menunaikan hak mereka sebagai pengundi.

"Antara faktor yang menyebabkan kegagalan mendaftar sebagai pemilih ialah kurangnya kesedaran dan tanggungjawab terhadap kepentingan untuk menjadi pengundi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Taklimat dan Penerangan Pendaftaran Pemilih, Pengundi Baru dan Pemutihan Keanggotaan Umno anjuran Biro Daftar Keahlian Umno Pahang di Sungai Koyan, dekat sini, pada hari Sabtu.

Selain itu, Ahmad berkata Umno juga akan memperhebatkan lagi program Juara Rakyat ke semua 191 bahagian Umno di seluruh negara dengan setiap Anggota Majlis Tertinggi (MT) akan menjadikan lima bahagian sebagai "bahagian angkat".

"Lima bahagian yang dipilih itu adalah daripada lima negeri yang berbeza, tiga daripadanya kawasan yang dimenangi Barisan Nasional, dua lagi bahagian yang tewas, perkara ini diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi pada 4 Dis lepas," katanya.

-- BERNAMA


Tuesday 12 January 2010

PM Mahu Sektor Awam Profesional Tanpa Kecenderungan Politik

11 Januari, 2010 23:08 PM

PUTRAJAYA, 11 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu sektor awam di negara ini menjadi satu perkhidmatan yang profesional sepenuhnya tanpa kecenderungan politik.


Perdana Menteri berkata ini membolehkan penjawat awam menyokong serta menterjemahkan apa yang dihasratkan oleh kerajaan yang dipilih rakyat.

"Ini satu prinsip yang suci dalam negara kita jika hendak negara kita mencapai kejayaan demi kejayaan.

"Tidak kira apa jua pendapat peribadi, kita mesti berpegang kukuh dan teguh kepada perkhidmawatan awam yang profesional sepenuhnya," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di sini, pada hari Isnin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Pengerusi SPA Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri.

Najib berkata penjawat awam juga mesti berani tampil ke hadapan dan berada di kelok pembaharuan dalam menggalas transformasi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara moden yang lebih disenangi.

Beliau berkata transformasi itu bukan bererti peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi daripada pelbagai aspek kehidupan masyarakat yang matang, tinggi tahap pendidikan dan nilai yang lebih kukuh.

"Hari ini kita berada pada abad ke-21 yang lebih mencabar jika dibandingkan pada masa lepas. Kita berdepan dengan pelaku-pelaku baru terhadap negara kita yang kini menjadi pesaing.

"Kita juga berdepan dengan tuntutan masyarakat kita yang lebih terdidik dan matang serta mempunyai harapan tinggi terhadap kerajaan," katanya.

Perdana Menteri juga mahu sektor awam bersikap lebih bersedia kepada cabaran masa kini yang lebih kompleks dan menghadapi persaingan daripada negara-negara yang dulunya tertutup tetapi kini bersikap lebih terbuka.

Dalam pada itu, Najib mahu penjawat berani membuat keputusan dan pelaksanaan secara pantas tanpa mengorbankan kualiti perkhidmatan awam.

"Pantas bukan bermaksud terburu-buru tetapi pantas dan tepat. Dulu saya ada dengar di hujung telinga, kalau orang awam hendak sesuatu, dengan segera respons kita kata tidak.

"Kalau hendak, biar mereka membuat rayuan tetapi sekarang cara itu sudah tidak sesuai lagi kerana masyarakat mempunyai harapan yang tinggi, mereka hendak kerajaan memberikan maklum balas," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Sijil MS ISO 9001:2008 SPA dan melancarkan Kaedah Pengambilan Secara Profiling (MyRecruitment) suruhanjaya berkenaan.

-- BERNAMA


Terengganu Teruskan Saman Ke Atas Petronas Tuntut Royalti Minyak


December 28th 2009 | Posted by
mediakini

KERAJAAN Negeri Terengganu berkeras tidak akan menarik balik kes saman tuntutan royalti minyak ke atas Petronas yang dibuat zaman pemerintahan PAS di negeri berkenaan dahulu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pihak tidak akan menandatangani sebarang perjanjian dan menarik balik kes berkenaan di mahkamah selagi tidak berpuas hati dengan segala hak dan kepentingan kerajaan negeri.

Sehingga kini katanya, Terengganu masih dalam rundingan untuk mendapatkan semula wang tuntutan royalti minyak negeri berkenaan berjumlah RM2.792 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.

Ahmad berkata, rundingan tersebut bagaimanapun belum dapat diselesaikan apabila Kementerian Kewangan masih lagi dengan keputusan awal untuk membayar sebanyak RM1.686 bilion sahaja.

Beliau menegaskan bahawa jumlah terbabit tidak dipersetujui sambil memberitahu bahawa tuntutan yang dibuat telah pun ditolak dengan perbelanjaan Kerajaan Negeri.

“Itulah senarai yang kita putuskan dan kita berharap rundingan ini dapat kita diselesaikan dan saya boleh nyatakan bahawa selagi perkara ini tidak diselesaikan, perjanjian tidak akan ditandatangani,” katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12, di Wisma Darul Iman, 23 Disember lalu.

Terdahulu, Ahmad menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan ketika Mesyuarat terakhir di Kuala Terengganu pada 18 Ogos lalu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah memperincikan bahawa pihaknya menerima RM15.847 bilion daripada Petronas sepanjang 2000 hingga Mac 2009.

Jumlah tersebut digunakan untuk perbelanjaan di negeri ini termasuk di negeri lain berjumlah RM1.686 iaitu RM914.9 juta untuk pelbagai tujuan dan RM771.3 juta bagi Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) di negeri lain.

Selain itu, sebanyak RM1.5947 bilion yang menjadi jumlah tanggungan akan ditolak Kementerian Kewangan sebelum bakinya disalurkan sebagai royalti Kerajaan Negeri.

Secara dasarnya, kementerian bersetuju mengembalikan RM1.686 bilion, namun keputusan tersebut tidak dipersetujui Kerajaan Negeri menyebabkan bayaran royalti masih lagi tertangguh sehingga kini.

Ahmad yang menimbulkan kontroversi semasa pelantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu selepas pilihan raya umum ke-12, menolak tanggapan bahawa berlaku konflik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, sebaliknya memberitahu tuntutan berkenaan sekadar meminta hak rakyat Terengganu.
( Sumber :Mediakini.com)

Jumlah pesakit diabetes meningkat 80 peratus sepanjang sepuluh tahun



KUALA LUMPUR - (SINAR HARIAN ) Jumlah pesakit diabetes atau kencing manis di negara ini mencatatkan peningkatan hampir 80 peratus kepada 1.4 juta penduduk dewasa berumur 30 tahun ke atas dalam tempoh 10 tahun dari 1996-2006.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, apa yang membimbangkan ialah hampir 36 peratus daripada mereka tidak didiagnosis, menyebabkan mereka mengalami komplikasi kemudiannya dan memerlukan rawatan lebih intensif yang menimbulkan bebanan kepada perkhidmatan kesihatan.

Dalam ruangan bulanan beliau dalam buletin berita Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), beliau berkata, gaya hidup merupakan faktor utama mempengaruhi peningkatan jumlah pesakit diabetes di negara ini.

Beliau berkata, perubahan gaya hidup seperti mengurangkan berat badan, pemakanan seimbang dan peningkatan aktiviti fizikal dapat membantu mengawal penyakit ini.

Dr Ismail berkata, obesiti merupakan satu lagi trend di Malaysia, ekoran Kajian Kesihatan dan Morbiditi Negara pada 2006, menunjukkan jumlah mereka yang obes mencatatkan peningkatan hampir 200 peratus bagai tempoh 10 tahun dari 1996.

“Trend ini amat membimbangkan kerana obesiti kekal menjadi punca utama kepada penyakit diabetes, khususnya di kalangan penduduk negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kementerian baru-baru ini melancarkan garis panduan amalan klinikal bagi penyakit diabetes iaitu 'Clinical Practice Guidelines: Management of Type 2 Diabetes Mellitus & Acute' bagi penyedia penjagaan kesihatan.

Menurutnya, inisiatif Kementerian Kesihatan itu bertujuan meningkatkan pengurusan dan kawalan diabetes di kalangan pesakit termasuk memperkenalkan ujian glukos dalam darah (HbA1c) dan kad diabetes bagi pemantauan berterusan.

Inisiatif untuk pemeriksaan komplikasi diabetes termasuk menyediakan kit pemeriksaan albumin di hospital dan pusat kesihatan. - Bernama