Kad ucapan motivasi semangat pekerja ![]() Pengerusi Kelab Sukan (Kesukan) Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Hulu Terengganu, Ariffin Abdullah berkata, pelaksanaan program itu digerakkan oleh kelab berkenaan, bermula awal tahun ini yang secara tidak langsung membantu mengeratkan silaturahim dalam kalangan mereka, membabitkan semua bahagian. “Walaupun hanya sekeping kad ucapan diletakkan atas meja pekerja pada hari ulang tahunnya, ia mempunyai maksud tersirat yang sememangnya dapat memberi mereka motivasi supaya terus berusaha ke arah lebih baik. “Kad ucapan ulang tahun ini tidak hanya sekadar menyampaikan ucapan selamat hari lahir, namun melaluinya membuatkan pekerja menyedari peningkatan umur masing-masing. Seiring pertambahan usia, kakitangan juga perlu berubah iaitu menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” katanya. Menurutnya, melalui konteks itu, mereka bukan sekadar dapat memotivasikan diri bagi meningkatkan prestasi kerja dan bertanggungjawab terhadap kerja serta majikan tetapi juga kepada anak dan keluarga masing-masing. “Seiring kematangan dan pertambahan usia kakitangan, diharap dapat melahirkan individu berdedikasi, berintegriti dan berwawasan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada program gotong-royong asyura di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Hulu Terengganu, di sini, semalam. Program dimeriahkan dengan penyertaan 250 kakitangan yang dipecahkan mengikut rumah sukan. Sebanyak lapan kawah bubur asyura disediakan, bukan hanya untuk diagihkan kepada kakitangan tetapi juga jabatan kerajaan berdekatan. Ariffin berkata, program itu adalah aktiviti pertama kelab berkenaan tahun ini. “Antara agenda tahunan lain adalah hari keluarga dan lawatan berinformasi ke jabatan lain bagi memberi pendedahan kepada kakitangan dari pelbagai aspek pelaksanaan pengurusan. “Biro di bawah kelab ini sentiasa dipantau supaya sentiasa bergerak aktif melaksanakan program atau aktiviti mengikut skop masing-masing,” katanya. Menurutnya, melalui kewujudan Biro Wanita, ternyata banyak membantu kakitangan wanita bukan hanya dari aspek kemahiran memasak ataupun jahitan tetapi juga merangkumi penampilan diri. |
Saturday, 16 January 2010
KAD UCAPAN MOTIVASI SEMANGAT PEKERJA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment