Sunday, 10 January 2010

Penghidap saraf terima mesin jahit

sumber :http://www.sinarharian.com.my

KAMPUNG LAPAN KOTAK – Nasib seorang lelaki yang menghidap masalah saraf kelopak mata akan berubah selepas menerima sumbangan mesin jahit bernilai RM2,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Lelaki berkenaan, Hassan Abd Rahman, 47, mengalami masalah kelopak mata tertutup sepanjang masa sejak dua tahun lalu menyebabkan dia mengalami masalah penglihatan dan sukar bekerja.

Menyedari kesulitan menimpa Hassan untuk menyara keluarga, mendorong Maidam tampil menghulurkan bantuan berupa mesin jahit di bawah program Bantuan Modal Berdikari kepada isteri Hassan, Zaleha Latiff, 38.

Sumbangan itu dihantar ke rumah Hassan dan disampaikan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Wan Sulaiman dan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih.

Dr Abdullah berkata, bantuan itu sebagai tanda keprihatinan Maidam dan kerajaan terhadap nasib rakyat yang dalam kesusahan seiring slogan Perdana Menteri iaitu rakyat dida�hulukan, prestasi diutamakan’.

“Saya berharap dengan mesin jahit ini, isteri Hassan dapat membantu suami mencari nafkah dengan mengambil upah menjahit pakaian berikutan dia mempunyai kemahiran menjahit,” katanya.

Hassan tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan kerana sukar melihat akibat kelopak mata sentiasa tertutup sehingga menyebabkan dia terpaksa menjual motosikal dan beberapa peralatan lain demi menyara keluarga termasuk enam anak, berumur 2 hingga 15 tahun.

“Jika mahu melihat dengan jelas, saya terpaksa angkat kelopak mata sekejap dan kalau lepas jari, kelopak mata akan jatuh semula. Doktor kata saya mengalami masalah saraf,” katanya.

Pada majlis sama, Maidam turut menyumbangkan beras kepada 10 keluarga dari kampung yang sama.

No comments:

Post a Comment